Jarak Musafir

Jarak Musafir

Beberapa syarat telah ditetapkan oleh ulama’ dalam membolehkan seseorang itu untuk menunaikan solat musafir antaranya ialah jarak perjalanan yang ditempuhi oleh seseorang, perjalanan itu hendaklah untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak dan bukan berniat bermukim di tempat yang ditujuinya.

Namun, ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan jarak yang membolehkan sesorang itu untuk solat musafir (solat qasar dan solat jama’):


PENDAPAT PERTAMA:

- Merupakan pendapat majoriti ulama’ (ulama’ mazhab Maliki, al-Syafie dan Hanbali)

- Jarak perjalanan yang dibolehkan solat musafir: (4 Burd = 16 Farsakh = 84 Batu = 77.232KM)

- Sesetengah mereka berpendapat jaraknya ialah 2 hari perjalanan menaiki unta

- Ada juga sebahagian mereka yang berpendapat jaraknya ialah tempoh perjalanan 1 hari 1 malam.

Dalil-dalil / hujah-hujah:

  1. Hadis riwayat Al-Baihaqi daripada Ibn Abbas daripada Nabi SAW bersabda: “Wahai penduduk Mekah, jangan anda sekalian mengqasarkan solat dalam perjalanan yang kurang daripada 4 Burd daripada Mekah ke Asfan”. (al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra)
  2. Hadis riwayat al-Bukhari secara ta’liq dengan lafaz: Ibnu Abbas dan Ibnu Umar mengqasarkan solat dan berbuka puasa di dalam perjalanan sejauh 4 Burd, iaitu 16 Farsakh. (Sahih Bukhari)

PENDAPAT KEDUA:

- Merupakan pendapat ulama’ mazhab Hanafi

- Jarak perjalanan yang dibolehkan untuk solat musafir ialah tempoh perjalanan selama 3 hari 3 malam dengan menaiki unta.

Dalil-dalil / hujah-hujah:

  1. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi SAW bersabda: “Wanita tidak boleh bermusafir selama 3 hari kecuali bersama dengan mahramnya”. (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)
  2. Muslim meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib tentang hukum menyapu khuf: Nabi SAW mengharuskannya 3 hari 3 malam kepada orang musafir dan 1 hari 1 malam untuk orang yang bermukim. (Sahih Muslim)


PENDAPAT KETIGA:

- Merupakan pendapat ulama’ mazhab Zahiri

- Mereka berpendapat bahawa tiada jarak perjalanan tertentu yang dibolehkan untuk solat musafir.

- Dibolehkan solat musafir pada semua perjalanan yang dikira musafir dari segi uruf tanpa mengira jarak perjalanan tersebut

- Pendapat ini juga dipegang oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim

Dalil-dalil / hujah-hujah:

  1. Firman Allah yang menunjukkan bahawa mengqasarkan solat tidak terikat kepada jarak dan masa akan tetapi ianya adalah bersifat umum: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu”. (An-Nisa’: 101)
  2. Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya: “Allah S.W.T memfardhukan solat melalui lisan Nabi (SAW) anda sebanyak 4 rakaat ketika berada di kampung halaman dan 2 rakaat ketika bermusafir”. (Sahih Muslim)


PERBAHASAN SETIAP PENDAPAT:

Pendapat pertama:

- Jarak perjalanan yang dibolehkan solat musafir: (4 Burd = 16 Farsakh = 48 Batu = 77.232KM)

- Dalil yang digunakan:

1. Hadis riwayat Al-Baihaqi daripada Ibn Abbas daripada Nabi SAW bersabda: “Wahai penduduk Mekah, jangan anda sekalian mengqasarkan solat dalam perjalanan yang kurang daripada 4 Burd daripada Mekah ke Asfan”. Hadis ini adalah hadis yang sangat lemah kerana di dalam isnadnya terdapat perawi bernama Abd Al-Wahhab Ibnu Mujahid bin Jubair. Beliau merupakan seorang yang matruk. (rujuk: Al-Majmu’, an-Nawawi)

2. Hadis riwayat al-Bukhari secara ta’liq dengan lafaz: Ibnu Abbas dan Ibnu Umar mengqasarkan solat dan berbuka puasa di dalam perjalanan sejauh 4 Burd, iaitu 16 Farsakh. Riwayat ini bercanggah dengan beberapa riwayat sahabat yang lain contohnya: Daripada Anas bahawa beliau mengqasarkan solat sedangkan jarak yang ditempuhinya hanyalah 5 farsakh (15 KM). Jika pandangan sahabat berbeza maka tidak satu pun daripada pendapat mereka boleh dijadikan hujah selagi tiada sokongan dari sumber yang lain.

Pendapat kedua:

- Jarak perjalanan yang dibolehkan solat musafir ialah tempoh perjalanan selama 3 hari 3 malam dengan menaiki unta.

- Dalil-dalil yang digunakan:

1. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi SAW bersabda: “Wanita tidak boleh bermusafir selama 3 hari kecuali bersama dengan mahramnya”. Hadis ini tidak menunjukkan bahawa musafir tidak berlaku kecuali yang melibatkan jarak perjalanan 3 hari sahaja. Sebaliknya, ia hanya menjelaskan tentang hukum kaum wanita bermusafir melebihi 3 hari tanpa mahram. Jadi ianya tidak boleh dijadikan hujah yang kuat.

2. Muslim meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib tentang hukum menyapu khuf: Nabi SAW mengharuskannya 3 hari 3 malam kepada orang musafir dan 1 hari 1 malam untuk orang yang bermukim. Hadis ini sebenarnya menjelaskan tentang tempoh sapuan yang paling maksimum iaitu 3 sapuan dalam jarak 1 hari 1 malam. Oleh itu, tidak sah menggunakannya sebagai alasan atau dalil.

Pendapat ketiga:

- Mereka berpendapat bahawa tiada jarak perjalanan tertentu yang dibolehkan solat musafir.

- Dalil-dalil yang digunakan:

1. Firman Allah yang menunjukkan bahawa mengqasarkan solat tidak terikat kepada jarak dan masa akan tetapi ianya adalah bersifat umum: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu”. (An-Nisa’: 101). Dalil ini tidak boleh dijadikan hujah kerana tidak didapati Nabi mengqasarkan solat pada jarak yang kurang dari 2 marhalah.

2. Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya: “Allah S.W.T memfardhukan solat melalui lisan Nabi (SAW) anda sebanyak 4 rakaat ketika berada di kampung halaman dan 2 rakaat ketika bermusafir”. Menurut pandangan Ibnu Hajar hadis ini tidak memfokuskan jarak perjalanan yang boleh dikira bermusafir. Oleh itu, dalil ini tidak kuat untuk dijadikan hujah.

PENDAPAT YANG TERPILIH:

- Pendapat yang kuat ialah pendapat yang dipegang oleh ulama’ mazhab Zahiri dan ulama’-ulama’ yang sependapat dengannya iaitu pendapat yang mengatakan bahawa tiada jarak perjalanan tertentu yang menjadi syarat untuk mengqasarkan solat,

- Setiap perjalanan yang dikira sebagai musafir dari segi uruf dan juga bahasa adalah harus untuk mengqasarkan solat.

- Ini kerana dalil-dalil yang ada tidak menunjukkan dengan terang tentang penentuan jarak tersebut.

- Musafir berbeza mengikut perbezaan uruf manusia, perkembangan zaman serta teknologi pengangkutan dan suasana keamanan sesuatu tempat tersebut.

- Pada zaman dahulu, binatang merupakan alat pengangkutan yang utama, sudah tentu pelbagai kesukaran dan tempoh perjalanan yang panjang akan dilalui walaupun jarak musafir hanya 50KM. Namun, mengikut uruf dan situasi pada zaman tersebut ianya sudah dikira sebagai musafir dan diharuskan untuk mengqasarkan solat.

- Akan tetapi, zaman telah berubah dengan perkembangan alat pengangkutan yang canggih. Dalam jarak sejauh 50KM boleh ditempuh dalam jangka masa kurang dari 1 jam dalam keadaan selesa dan banyak tempat rehat disediakan di sepanjang perjalanan tersebut. Maka, perjalanan yang ditempuhi tidak boleh dikira sebagai musafir kerana dari segi uruf masyarakat pada masa sekarang pun ianya tidak dianggap sebagai musafir.

- Perselisihan ini mungkin akan menjadi kesamaran kepada orang awam. Oleh itu, ulama’ pada zaman sekarang telah menentukan jarak perjalanan yang dikira sebagai musafir berdasarkan uruf-uruf serta perkembangan teknologi yang muncul dan kesukaran yang dihadapi oleh orang yang bermusafir sepanjang perjalanan tersebut.

- Untuk memudahkan dan merealisasikan kepentingan (maslahat) orang-orang Islam serta untuk mengelakkan perselisihan di kalangan orang awam maka ulama’ zaman sekarang telah berijtihad untuk menetapkan jarak 80KM sebagai jarak yang dianggap harus untuk mengqasarkan solat. WALLAHU A’LAM

* tulisan ini telah dipermudah dan diringkaskan untuk memudahkan bacaan bagi orang-orang awam. Oleh itu, dalil-dalil yang agak sukar difahami tidak disertakan dalam tulisan ini.

Sumber:

“Fiqh Perbandingan: Isu-isu Fiqh yang Terpilih” oleh Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari

Rujukan:

· Al-Quran

· Sahih al-Bukhari ma’a Fath al-Bari

· Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi

· Al-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi

· Al-Majmu’, al-Nawawi

· Bidayat al-Mujtahid, ibnu Rushd

· Al-Mughni, ibn Qudamah

· Mughni al-Muhtaj, Khatib al-Syarbini

· Kasysyaf al-Qina’, al-Buhuti

· Hasyiyah ibn ‘Abidin, ibn ‘Abidin

· Majmu’ al-Fatawa, ibn Taymiyah

· Al-Muhalla, ibn Hazm

· Al-Hawi, al-Mawardi

3 comments:

Anonymous April 26, 2011 at 9:53 AM  

salam....nice job...

Anonymous August 9, 2011 at 1:15 PM  

salam. jarak 80km tu sehala atau 2 hala?terima kasih di atas respon

Anonymous November 23, 2014 at 8:06 PM  

sehala

Post a Comment

Zikr

Zikr

Wish

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]

Time

Date Today

Remarks

::salam perkenalan buat semua...welcome to my blog...don't hesitate to give ur comments and suggestion::

About me

Name: Mohamad Fadzli b. Shamsuddin
Nick: Palie, Avicenna
Age: 24 (09/01/85)
Country: Bagan Datoh, Perak
Status: Student

> still study at UIAM
> interested in religious related matter, social, relationship, business etc.
> active in sports & religious movement.


Contact Me

> Facebook
avicenna_852000@yahoo.com
> Yahoo Messenger
ulum_students
> MyBlog
http://fadzlisham.blogspot.com/
> E-mail
mfadzli85@gmail.com